KUALA LUMPUR: Jenazah Allahyarham Tun Abdul Taib Mahmud selesai disolatkan di ruang solat Masjid Negara, di sini, pada jam 10.30 pagi.

Antara yang menyertai solat jenazah itu ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof; Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dan Tan Sri Annuar Musa serta 100 orang lain.

Difahamkan, selepas selesai solat jenazah, jenazah akan dibawa ke Dewan Syarahan Utama Masjid Negara untuk upacara penghormatan terakhir peringkat Semenanjung.

Selepas berakhir upacara penghormatan terakhir itu, jenazah bekas Yang di-Pertua Negeri Sarawak itu akan dibawa ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang untuk diterbang ke Kuching sekitar 12 tengah hari ini.

Allahyarham Abdul Taib menghembuskan nafas terakhir di Cardiac Vascular Sentral Kuala Lumpur (CVSKL) pada usia 87 tahun.

Berita duka pemergian pemimpin itu disahkan oleh Fadilah Yusof kepada Astro AWANI.

Jenazah Abdul Taib Mahmud ditempatkan di Dewan Syarahan Utama Masjid Negara untuk upacara penghormatan terakhir peringkat Semenanjung.